KESIHATAN


Mengurus Tekanan (Stres)
                               
Pengertian tekanan (stres)

  1. Stres adalah hakikat (realiti) kehidupan.
  2. Semua manusia terdedah pada pelbagai bentuk stres.
  3. Keupayaan serta tindakan individu terhadap stres berbeza-beza mengikut persepsi masing-masing.
  4. Stres boleh membawa kesan negatif dan positif.
  5. Peristiwa luar jangkaan boleh mengakibatkan stres yang lebih jika dibandingkan dengan peristiwa yang dirancang atau dijangka.
  6. Stres dapat dikawal melalui strategi gaya tindak balas yang sesuai bagi tujuan membetul dan menyesuaikan hidup.
  7. Stres bukan penyakit sepanjang zaman.  Walau bagaimanapun, ia ada kaitan dengannya.  Apabila stres tidak dikawal, ia boleh menyebabkan distres (penghidap mendapat penyakit kronik seperti gastrik, ulser, darah tinggi dan sakit jantung).
                          
Jenis-jenis stres
1. Stres Akut
Terhasil daripada peristiwa yang menimpa atau berlaku secara tiba-tiba dan dahsyat.  Peristiwa seperti kematian pasangan hidup atau orang yang disayangi, mala petaka atau bencana alam dan sebagainya. Kesannya agak lama dan berpanjangan seperti gangguan tidur, fobia, trauma dan lain-lain yang boleh membawa kepada penyakit-penyakit kronik.
2. Stres Kronik
Situasi yang dihadapi dalam kehidupan seharian dan boleh berlaku berulang-ulang.  Misalnya, stres di tempat kerja kerana berlakunya bebanan kerja, ketegangan, bosan dan hubungan kurang baik antara majikan –pekerja. Kesannya seperti keletihan, tergesa-gesa atau kelam- kabut, lenguh-lenguh dan sakit badan tetapi pulih semula dalam jangka masa yang singkat.


Tanda-tanda stres

  1. Keletihan di hujung hari (lethargy).
  2. Sukar tidur (Insominia).
  3. Tidur berlebihan.    
  4. Makan berlebihan (bulimia)
  5. Risau atau gelisah tidak menentu.
  6. Kurang konsentrasi dan daya ingatan.
  7. Tiada berminat membuat kerja.
  8. Tidak dapat berfikir, merancang dan membuat keputusan.
  9. Rasa terancam dan takut tidak menentu (fobia).
  10. Cepat bosan.
  11. Pelupa.
  12. Tenaga berlebihan.
  13. Mudah naik angin atau marah.
  14. Merokok atau minum arak berlebihan.
  15. Rasa tidak tenteram.
  16. Sangat mudah diserang pening kepala, selesema, batuk, demam dan sebagainya.
  17. Tiada tempat mengadu.
  18. Rasa tidak dipedulikan  (rejection) oleh keluarga atau kawan-kawan.
  19. Sukar senyum atau ketawa.
  20. Sensitif dan mudah tersinggung.

Kesan negatif stres
1.Fizikal    
  • Meningkatkan tekanan darah yang boleh menjejaskan denyutan jantung dan menyebabkan sakit jantung.
  • Meningkatkan kadar gula dalam darah menyebabkan kencing manis.
  • Meningkatkan paras kandungan  kolesterol dalam badan.
  • Kerengsaan (rasa malas, tidak bermaya, lemah badan dan sebagainya)
  • Berpeluh dengan banyak.
  • Kering mulut.
  • Sesak nafas atau asma.
  • Pening kepala, pengsan atau migrain.
  • Kerap buang air, sakit perut atau cirit-birit.
2. Psikologi
  • Perasaan risau, resah, gelisah atau berdebar-debar.
  • Rasa bingung dan rendah diri.
  • Kurang daya tumpuan (konsentrasi).
  • Perasaan atau berfikiran tidak mahu hidup lagi dan rasa hidup kosong.
  • Mudah melakukan kesilapan atau kecuaian (cenderung berlaku kemalangan).
  • Menggeletar, menggigil, gementar dan takut.
  • Gangguan tidur.
  • Cepat tua.
3. Hubungan interpersonal
  • Cepat naik darah atau marah.
  • Mudah menyalahkan orang lain.
  • Agresif.
  • Cenderung menyendiri dan memencilkan diri.
  • Terlalu sensisif.
4. Profesional dan keberkesanan
  • Prestasi dan produktiviti kerja menurun.
  • Kurang minat dan motivasi.
  • Kualiti kerja menurun.
  • Kerap melakukan kesalahan.
  • Sukar menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

Kesan positif stres
  1. Manusia belajar membentuk strategi-strategi tertentu bagi menghadapi bencana alam, malapetaka, kemalangan, tragedi, krisis, peperangan, dan sebagainya. Ia dapat menghindarkan mangsa daripada menghadapi stres seperti mewujudkan keberanian, bekerjasama dan menanamkan keyakinan bahawa pelbagai masalah dapat diatasi.

  1. Pengalaman berjaya mengatasi stres membuatkan individu itu dapat membina pertahanan diri (keyakinan diri, pengetahuan, kesabaran, keberanian dan sebagainya) bagi menghadapi rintangan dan halangan dalam hidup.

Kaedah mengatasi stres
  1. Pengurusan masa.
    • Merancang keutamaan (prioriti) anda.
    • Membuat keputusan apabila perlu.
    • Jangan membuat semua kerja atau tugas dalam satu masa.
    • Buat sesuatu dengan bersungguh dan hindarkan perasaan risau.
  2. Baiki dan tingkatkan gaya pemakanan yang sihat.
  3. Beristirehat, bersantai, bersembahyang, berdoa, bersukan, beryoga dan tenang-tenangkan fikiran.
  4. Bina sistem hubungan sosial anda. Keluarga, saudara mara serta kawan-kawan dapat memberi sokongan moral yang kuat.
  5. Bersikap dan berfikiran positif serta realistik terhadap kehidupan. Tidak terlalu menekankan hasil yang diharapkan tetapi selalu berasa senang dengan tahap kebolehan anda. Percaya, yakin dan tawakal dengan ketentuan Allah.
  6. Berjumpa dengan kaunselor atau psikiatri bagi mendapatkan layanan terapeutik dan rawatan stres (inokulasi stres).

Contoh rawatan stres
1. Latihan bersantai, penawar stres
  • Dapatkan kedudukan yang selesa sama ada di atas kerusi, lantai ataupun katil dalam keadaan duduk, berdiri ataupun baring.
  • Pejamkan mata.
  • Wujudkan suasana yang menyegarkan dalam pemikiran dan imaginasi. Misalnya, bayangkan anda berada di tepi sebuah sungai, tasik, air terjun ataupun pantai yang mana suasana persekitarannya segar, nyaman dan tenang (pilihlah tempat yang pernah anda kunjungi).
  • Lupakan buat sementara waktu segala kerisauan, ketegangan dan masalah yang sedang dihadapi. Tumpukan konsentrasi anda pada suasana tempat itu. Bayangkan suasana harmoni, nyaman dan tenang serta hayati suasana itu.

2. Meditasi dan senaman
  • Yoga: Senaman pernafasan
  • Tai Chi: Senaman kelembutan anggota badan.
  • Solat pada waktu tengah malam (tahajud):  Doa yang syahdu dan tawaduk.




Praktik kendiri mengurangkan stres

Manusia dan stres

Manusia dan stres
  1. Ramai manusia tidak bersyukur dengan apa yang ada pada diri mereka.
  2. Manusia sering kecewa dengan keadaan diri dan kehidupan mereka.
  3. Kehidupan manusia kadang kala seronok dan ada kalanya tidak.
  4. Manusia sentiasa diberi pilihan dan mereka perlu bijak memilih pilihan paling tepat, sesuai dan selesa dengan diri mereka.
  5. Manusia sendiri boleh menyebabkan diri mereka berada dalam situasi stres, sengsara atau derita kerana mereka sendiri yang ’mensabotaj’ diri sendiri.
  6. Manusia sendiri yang mewujudkan rasa sedih, derita dan sengsara dengan menginginkan perkara yang tidak ada pada diri mereka (mengangankan untuk menjadi insan lain) dan tidak mahu menggunakan apa yang ada pada diri mereka.
  7. Manusia yang takut pada perubahan kekal tinggal dalam kepompong mereka dan tidak dapat  menikmati kejayaan yang besar.

                       
Adakah anda sedar bahawa anda mengalami stres apabila anda........

  1. Tidak cukup tidur pada waktu malam dan menyebabkan rasa letih, tidak dapat menumpukan perhatian pada pekerjaan anda.

  1. Otak anda sentiasa berputar ligat memikirkan perkara-perkara negatif sehingga kepala anda merasa sakit, pening, berdenyut-denyut dan meloya sehingga tidak berselera untuk makan dan memnyebabkan badan anda lemah, tidak bertenaga dan prestasi kerja merosot.

  1. Anda bersikap malu yang tidak bertempat sehinggakan kawan ataupun orang lain menyangka anda seorang individu yang sombong dan mengelak untuk menegur anda. Ini menyebabkan anda berasa tidak dipedulikan, menyebabkan anda tidak dapat membuat pekerjaan anda dengan sempurna.


Anda berharap supaya....
          
  1. Orang lain sentiasa mengalu-alukan anda.

  1. Anda menjadi orang lain yang lebih istimewa daripada anda.

  1. Masalah anda dapat selesai dengan cara berfikir, mengenang kembali, menyesali apa yang sudah berlaku tetapi anda tidak bertindak bagi memperbaiki atau mengatasinya.

  1. Anda tidak perlu mencuba perkara baru kerana anda selesa dan gembira dengan keadaan lama tetapi anda masih ingin berjaya dengan cemerlang.

  1. Orang lain berkawan dengan anda sedangkan anda tidak pernah menegur, tersenyum ataupun bermanis muka dengan mereka.

  1. Anda dapat menjaga hati orang lain dengan cara terpaksa akur dengan permintaan mereka dan tidak mampu menyatakan ’tidak’  pada perkara yang tidak mampu anda lakukan semasa memenuhi permintaan mereka.

  1. Orang lain tidak mencari fasal dengan anda dan pada masa yang sama anda tidak menyedari anda mencari fasal dengan orang lain.

  1. Anda tidak mahu menyakiti diri anda tetapi pada masa yang sama tindakan anda menuju ke arah itu.

     dan sebagainya.


Kesimpulan

1.     Perubahan boleh menimbulkan rasa tidak selesa, tertekan, terkongkong, sedih dan pelbagai rasa yang kurang menyenangkan.
2.     Ada orang memerlukan masa untuk berubah.
3.     Ada orang langsung tidak mahu berubah.
4.     Ada orang yang takut untuk berubah kerana pernah melalui pengalaman.
5.     Ada orang mahu berubah tetapi memerlukan bantuan dan sokongan orang lain.
6.     Ada orang yang terpaksa berubah kerana desakan atau paksaan. Perubahan ini biasanya tidak bertahan lama.
7.     Perubahan memerlukan pengorbanan, kesungguhan, keberanian dan sanggup menghadapi apa jua risiko kesan daripada perubahan yang dilakukan seperti stres, sengsara, susah dan sebagainya.
8.     Individu yang berjaya  adalah individu yang sanggup berubah dan tidak banyak menggunakan ’helah bela diri’ atau alasan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan