Rabu, 1 Ogos 2012

Kisah Benar: Nabi Muhammad dengan Doktor Kristian

Semasa Nabi Muhammad masih hidup, negara Mesir mengamalkan dasar luar negara yang positif, iaitu berdamai dengan Madinah yang diketuai oleh Nabi Muhammad.

      Pemerintah Mesir pada masa itu bernama Maqauqis.  Sebagai tanda persahabatan, Maqauqis menghantar seorang pakar perubatan yang baik supaya berkhidmat di Madinah sebagai pegawai pinjaman selama dua tahun.

     Selama dua tahun doktor itu berada di Madinah, klinik beliau tidak pernah didatangi oleh pesakit, sampai dia berasa bosan dengan keadaan itu.

     Pada suatu hari doktor yang beragama Kristian itu pergi berjumpa Nabi Muhammad.

     ”Tuan, sudah dua tahun saya bertugas di bandar ini, tetapi belum pernah ada sesiapa datang meminta rawatan.  Adakah penduduk bandar ini takut dengan doktor?”  dia bertanya kepada Nabi Muhammad.

      ”Tidak, tidak. Dengan musuhpun mereka tidak takut, apatah lagi dengan doktor,”  jawab Nabi Muhammad.

     ”Habis,  mengapa sudah dua tahun tidak ada sesiapa datang meminta ubat daripada saya?”  tanya doktor Mesir itu.  ”Sebab penduduk bandar ini tidak ada yang sakit,”  jawab Nabi Muhammad.  Doktor itu kurang percaya.

     ”Pergilah periksa sendiri,”  kata Nabi Muhammad.

     Doktor itu pun pergi berjalan-jalan ke semua ceruk dan penjuru bandar Madinah, mencari-cari kalau ada sesiapa yang sakit, tetapi tidak berjumpa.

     ”Apakah rahsia kesihatan penduduk Madinah?”  doktor Mesir itu bertanya kepada Nabi Muhammad.  ”Kami adalah bangsa yang tidak makan selagi belum lapar.  Apabila kami makan, kami berhenti sebelum kenyang.  Kami hanya makan apa yang halal dan apa yang baik.  Dan kami makan untuk taqwa, bukan untuk menjamu selera,”  kata Nabi Muhammad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan