Renungan Bersama….
Kulit lelaki
lebih kasar berbanding kulit perempuan yang lebih halus. Perempuan lebih halus suara berbanding lelaki
yang kasar dan besar suaranya.
Lelaki memiliki
tulang anggota yang lebih panjang berbanding wanita. Tulang wanita bukan sekadar lebih kecil malah
susunannya berbeza disebabkan wanita diciptakan Tuhan dengan struktur tubuh
bagi melahirkan anak.
Demikian juga daripada segi psikologi. Wanita secara umum lebih bersikap mudah
mengikut kata hati, lebih berminat kepada cinta dan kasih sayang dan hubungan
perasaan.
Apabila
mengamati sesuatu benda, kedua-dua juga berbeza. Lelaki lebih banyak
menggunakan pengamatan tumpuan. Manakala
wanita pula menggunakan pengamatan yang luas dan membesar. Pengamatan lelaki ibarat cahaya laser yang
menumpu kepada sesuatu objek. Manakala,
pengamatan wanita ibarat lampu suluh, yang membuka, menampakkan banyak benda. Wanita mahu mengambil tahu semua perkara. Daripada perkara kecil sehingga perkara yang
lebih besar. Sementara lelaki hanya
menumpukan kepada matlamat utama.
Cuba perhatikan
kepada wanita, apa yang mereka bawa apabila keluar rumah. Tengok sahaja pada beg tangan mereka. Lebih besar daripada lelaki. Lelaki membawa beg kecil sahaja. Di dalamnya hanya ada lesen kenderaan, duit,
surat-surat penting dan kad kredit bank.
Dalam beg tangan
wanita semuanya ada. Di dalam beg tangan
wanita ada dompet duit, kad kredit, buku bank, buku cek, ada alatan make-up, cermin,
sikat rambut, tisu muka, pengetip kuku, kunci, pen, pensel, ubat sakit kepala,
gambar suami, gambar anak, cermin mata hitam, buku telefon dan macam-macam
lagi.
Kenapa
sedemikian dilakukan oleh wanita? Jawabnya
kerana wanita memikirkan pelbagai kemungkinan perkara yang boleh belaku. Mereka lebih peka, apabila sesuatu terjadi,
persediaan sudah pun dilakukan. Ini
bermakna pemikiran dan penumpuan wanita lebih lebar. Pada lelaki, cukup dengan lesen memandu dan
duit. Sebab
mereka mahu sampai ke matlamat. Duit untuk
membeli. Lesen memandu supaya selamat daripada disoal polis.
Demikianlah
perbezaan yang wujud antara lelaki dan wanita.
Kerana itu, tidak hairan apabila suami isteri ini melihat banyak perkara
secara berbeza. Contohnya, suami isteri
yang kedua-duanya bekerja, mereka terpaksa keluar dari rumah awal pagi.
Dalam banyak
hal, wanita bekerja yang paling kerap bersungut. Suaminya, apabila keluar sahaja dari rumah,
yang dibawa hanya kunci kereta, masuk ke dalam kereta dan hidupkan enjin,
kemudian tunggu isteri. Matlamat mereka
ke pejabat. Manakala si isteri,
memikirkan apa yang hendak dibawa ke sekolah, baju di ampaian siapa hendak
ambil, anak belum pakai baju lagi, anak belum makan lagi. Kalau boleh, dia mahu memikirkan semua benda, kerana
padanya, apabila sesuatu terjadi, bagaimana kesudahannya? Biar lewat ke tempat kerja, asalkan semuanya
beres.
Apabila si suami
dan isteri ke kompleks membeli belah. Si
isteri, apabila masuk sahaja ke pusat membeli belah dia melihat banyak benda
dahulu, satu persatu, perlahan-lahan, dari atas ke bawah, kain ini dipegang,
diperhati dan dieselkan. Kemudian
pegang pula kain lain, selepas berjam-jam barulah dibuat pilihan membeli. Pendek kata, si suami yang menjadi pengikut
setia mudah bosan. Bagi lelaki apabila
hendak membeli sesuatu, terus dituju ke tempat yang ingin dibeli dan
membeli. Membeli belah pada
lelaki tidak perlu mengambil masa yang lama.
Contoh-contoh
tersebut menunjukkan cara wanita mengamati sesuatu berbeza daripada lelaki. Sebab itu, jangan bergaduh selepas membeli
belah, jangan bergaduh ketika mahu ke tempat kerja. Si isteri jangan putus asa melihat si suami, apabila
keluar sahaja dari rumah terus masuk kereta. Tanpa mahu mengangkat botol susu anak, kain
lampin anak, dan berbagai-bagai lagi untuk dibawa ke rumah pengasuh.
Akuilah kita
berbeza. Perbezaan bukan untuk bermusuh,
sebaliknya supaya saling membantu dan berkasih sayang. Kerana kita berbeza, kita lebih berkasih sayang. Jangan disebabkan pada cara berkasih sayang
antara lelaki dengan seorang wanita, maka timbul krisis rumah tangga berpuluh
tahun. Tentulah kerana
perbezaan yang ada antara kita itu, maka kita lebih berkasih sayang. Kerana itu, kita berbeza supaya saling
menyayangi.
Unit Bimbingan dan
Kaunseling
SK Bendang Siam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan