Sabtu, 13 Oktober 2012

Keistimewaan Coklat dan Badam














Coklat dan Badam

Coklat dan badam merupakan makanan yang boleh meransang otak.  Ia sangat baik bagi anak-anak yang masih belajar.  Bagi anak-anak di sekolah rendah coklat dan badam adalah lebih baik dimakan daripada membiarkan anak-anak membeli gula-gula yang hanya dibuat daripada gula dan bahan perasa sahaja..

Khamis, 2 Ogos 2012

Kanan atau Kiri?


Tuhan menciptakan manusia secara berpasang-pasangan, lelaki dan perempuan.  Begitu juga dengan makhluk Allah yang lain, samada haiwan atau tumbuh-tumbuhan.  

     Setiap anggota tubuh badan kita sebenarnya diciptakan secara berpasangan.  Tangan kanan dan kiri, sepasang mata, telingan juga kaki, dan lain-lainnya.

     Al-Quran juga sering menyebut mengenai kanan dalam peristiwa-peristiwa kebajikan.   Manakala kiri pula disebut sebagai rugi.

     Banyak kejadian di dunia ini dimulakan dengan kanan dan diakhiri yang kiri. Antaranya ialah;

  1. Bumi berputar dari kanan ke kiri, begitu juga dengan bulan mengelilingi bumi dari kanan ke kiri.

  1. Umat Islam mengerjakan tawaf di Mekah mengelilingi Kaabah bermula dari sebelah kanan.

  1. Kita mengakhiri solat dengan memberi salam bermula dengan kanan.

  1. Apabila kita memasuki masjid disunatkan kaki yang kanan.

  1. Keadaan kita memakai pakaian disunatkan kanan dahulu.

  1. Kita makan menggunakan tangan kanan.

  1. Kita tidur mengiring ke kanan sama seperti jenazah di dalam kubur.

  1. Begitu juga kita memulakan aktiviti-aktiviti lain dalam hidup kita di sebelah kanan.

     Gambaran di atas menunjukkan sikap umum manusia iaitu jika kita ibaratkan kaki kanan itu kebajikan, maka perintah agama menyuruh kita mendahului kebajikan, namun kita harus insaf, ketika melakukan itu kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan.

     Kaki kanan yang melangkah, tangan kiri tetap kita hayun ke hadapan.  Sebab itu, kita tidak boleh lupa kelemahan diri sendiri dengan suka menilik kelemahan diri orang lain.  Setiap orang ada tangan kiri.  Banyak manapun kebajikan kita, kita tetap ada kelemahannya.  Namun, kita perlu berusaha supaya sentiasa sedia melakukan amalan kebajikan mengikut ukuran agama. 

     Mudah-mudahan kita tergolong orang yang suka mengerjakan amalan kebajikan.  Bercakaplah dan sebarkanlah setiap amalan kebajikan yang dilakukan oleh orang lain.

     Sebaliknya kurangkan berbual mengenai amalan buruk orang lain kerana kita juga ada tangan dan amalan kiri.


Unit Bimbingan dan Kaunseling
SK Bendang Siam




Rabu, 1 Ogos 2012

Mengenal Peluru-peluru Syaitan


Bagi mencapai kecemerlangan, tipu daya syaitan perlu dikenali dan diawasi kerana syaitan sentiasa mencari kesempatan menyerang dan merosakkan hati-hati manusia.   Menurut Imam Al Ghazali, antara pintu yang sering digunakan syaitan adalah:

  1. Perasaan marah.

  1. Nafsu syahwat.

  1. Perasaan tamak dan dengki.

  1. Kenyang.

  1. Cinta kepada perhiasan dan harta benda.

  1. Bergantung kepada manusia.

  1. Gopoh gapah dan terburu nafsu.

  1. Cinta kepada dinar, dirham dan emas (wang ringgit).

  1. Sikap kedekut dan bakhil.

  1. Fanatik mazhab dan kelompok.

  1. Berfikir berkenaan dengan zat, sifat dan af’al atau perbuatan Allah tanpa ilmu.

  1. Sikap mudah berburuk sangka terhadap orang-orang Islam.

Kisah Benar: Nabi Muhammad dengan Doktor Kristian

Semasa Nabi Muhammad masih hidup, negara Mesir mengamalkan dasar luar negara yang positif, iaitu berdamai dengan Madinah yang diketuai oleh Nabi Muhammad.

      Pemerintah Mesir pada masa itu bernama Maqauqis.  Sebagai tanda persahabatan, Maqauqis menghantar seorang pakar perubatan yang baik supaya berkhidmat di Madinah sebagai pegawai pinjaman selama dua tahun.

     Selama dua tahun doktor itu berada di Madinah, klinik beliau tidak pernah didatangi oleh pesakit, sampai dia berasa bosan dengan keadaan itu.

     Pada suatu hari doktor yang beragama Kristian itu pergi berjumpa Nabi Muhammad.

     ”Tuan, sudah dua tahun saya bertugas di bandar ini, tetapi belum pernah ada sesiapa datang meminta rawatan.  Adakah penduduk bandar ini takut dengan doktor?”  dia bertanya kepada Nabi Muhammad.

      ”Tidak, tidak. Dengan musuhpun mereka tidak takut, apatah lagi dengan doktor,”  jawab Nabi Muhammad.

     ”Habis,  mengapa sudah dua tahun tidak ada sesiapa datang meminta ubat daripada saya?”  tanya doktor Mesir itu.  ”Sebab penduduk bandar ini tidak ada yang sakit,”  jawab Nabi Muhammad.  Doktor itu kurang percaya.

     ”Pergilah periksa sendiri,”  kata Nabi Muhammad.

     Doktor itu pun pergi berjalan-jalan ke semua ceruk dan penjuru bandar Madinah, mencari-cari kalau ada sesiapa yang sakit, tetapi tidak berjumpa.

     ”Apakah rahsia kesihatan penduduk Madinah?”  doktor Mesir itu bertanya kepada Nabi Muhammad.  ”Kami adalah bangsa yang tidak makan selagi belum lapar.  Apabila kami makan, kami berhenti sebelum kenyang.  Kami hanya makan apa yang halal dan apa yang baik.  Dan kami makan untuk taqwa, bukan untuk menjamu selera,”  kata Nabi Muhammad.

Sabtu, 21 Julai 2012

Ubat Yang Paling Mujarab


Nabi Muhammad SAW pernah berkata. “Bersedekah boleh mengubati penyakit dan boleh menolak daripada sebarang penyakit serta menyampaikan maksud.”

     Sedekah adalah antara amalan mulia yang digalakkan oleh agama.  Ia bukan sahaja boleh menyucikan jiwa kita daripada sifat haloba kepada dunia.  Ia juga boleh mengubati penyakit.

     Setiap orang akan ada masa sakit.  Apabila ditimpa penyakit, ia wajib diubati sama ada secara moden ataupun secara tradisional.  Namun ada penyakit yang sukar sembuh, kadang-kadang memerlukan pembedahan.  Pada ketika itulah, kita hanya mampu berdoa kepada Tuhan supaya disembuhkan daripada penyakit yang kita hadapi.  Sebab itu kita digalakkan supaya bersedekah.  Ini kerana doa daripada orang yang menerima sedekah kita mungkin boleh membantu memakbulkan permintaan kita kepada Tuhan.

     Apabila kita bersedekah, Tuhan akan menambahkan berkat kepada hidup kita.  Doa kita supaya disembuhkan daripada penyakit akan dimakbulkan Tuhan.  Nabi Muhammad SAW sendiri, pernah meminta para sahabat yang ingin menemui beliau supaya bersedekah terlebih dahulu.

     Untuk bersedekah tidak memerlukan jumlah wang yang banyak.  Cukup sekadar yang kita mampu.  Jika kita hanya mampu bersedekah sebanyak seringgit sahaja, itu sudah memadai daripada bersedekah dengan jumlah yang banyak tetapi diiringi dengan kata-kata dan perbuatan yang menyakitkan hati.  Jangan tunggu waktu kita sakit barulah kita mahu bersedekah.

     Selain menyembuhkan penyakit, sedekah juga boleh menyampaikan maksud dan hajat kita.  Sebagai contoh, apabila anak-anak kita yang bakal menduduki peperiksaan PMR dan SPM, sudah tentu kita mengharapkan supaya mereka berjaya.  Selepas mereka bertungkus-lumus membaca dan mengulang kaji pelajaran, maka tugas kita adalah berdoa untuk mereka.  Bersedekahlah jika kita ingin hajat kita itu tercapai.  Keluarkan sejumlah kecil wang kita, hulurkan kepada jiran tetangga yang memerlukan atau orang yang miskin.  Niatkan supaya ia menjadi amalan yang dapat menyampaikan maksud kejayaan anak kita.

     Kita juga boleh mengadakan kenduri kecil supaya ramai orang dapat merasai sedekah kita.  Abu al-Sheikh Dilami pernah menyebutkan kata-kata Nabi Muhammad SAW  di atas.  Beliau juga ada menyatakan bahawa harus untuk kita bersedekah dengan niat supaya disembuhkan segala penyakit yang dihidapi dan sebagainya.  Tuhan berkata menerusi surah al-Taubah ayat 104 yang bermaksud, ”Ambillah sebahagian daripada harta manusia, sebagai suatu bentuk sedekah atau zakat supaya harta mereka suci dan bersih dengan sedekah itu”.



Unit Bimbingan dan Kaunseling
SK Bendang Siam

Jumaat, 13 Julai 2012

Apa ada dalam beg tangan wanita


Renungan Bersama….



Wanita menarik nafas lebih kerap daripada lelaki, manakala lelaki menarik nafas lebih dalam daripada wanita. Sistem badan lelaki dan wanita pun tidak sama.  Lelaki lebih banyak memerlukan oksigen berbanding wanita supaya mereka dapat menukarnya menjadi tenaga.

   Kulit lelaki lebih kasar berbanding kulit perempuan yang lebih halus.  Perempuan lebih halus suara berbanding lelaki yang kasar dan besar suaranya.

   Lelaki memiliki tulang anggota yang lebih panjang berbanding wanita.  Tulang wanita bukan sekadar lebih kecil malah susunannya berbeza disebabkan wanita diciptakan Tuhan dengan struktur tubuh bagi melahirkan anak.

   Demikian juga daripada segi psikologi.  Wanita secara umum lebih bersikap mudah mengikut kata hati, lebih berminat kepada cinta dan kasih sayang dan hubungan perasaan.

   Apabila mengamati sesuatu benda, kedua-dua juga berbeza. Lelaki lebih banyak menggunakan pengamatan tumpuan.  Manakala wanita pula menggunakan pengamatan yang luas dan membesar.  Pengamatan lelaki ibarat cahaya laser yang menumpu kepada sesuatu objek.  Manakala, pengamatan wanita ibarat lampu suluh, yang membuka, menampakkan banyak benda.  Wanita mahu mengambil tahu semua perkara.  Daripada perkara kecil sehingga perkara yang lebih besar.  Sementara lelaki hanya menumpukan kepada matlamat utama.

   Cuba perhatikan kepada wanita, apa yang mereka bawa apabila keluar rumah.  Tengok sahaja pada beg tangan mereka.  Lebih besar daripada lelaki.  Lelaki membawa beg kecil sahaja.  Di dalamnya hanya ada lesen kenderaan, duit, surat-surat penting dan kad kredit bank.
   Dalam beg tangan wanita semuanya ada.  Di dalam beg tangan wanita ada dompet duit, kad kredit, buku bank, buku cek, ada alatan make-up, cermin, sikat rambut, tisu muka, pengetip kuku, kunci, pen, pensel, ubat sakit kepala, gambar suami, gambar anak, cermin mata hitam, buku telefon dan macam-macam lagi.

   Kenapa sedemikian dilakukan oleh wanita?  Jawabnya kerana wanita memikirkan pelbagai kemungkinan perkara yang boleh belaku.  Mereka lebih peka, apabila sesuatu terjadi, persediaan sudah pun dilakukan.  Ini bermakna pemikiran dan penumpuan wanita lebih lebar.  Pada lelaki, cukup dengan lesen memandu dan duit.  Sebab
mereka mahu sampai ke matlamat.  Duit  untuk membeli. Lesen memandu supaya selamat daripada disoal polis.

   Demikianlah perbezaan yang wujud antara lelaki dan wanita.  Kerana itu, tidak hairan apabila suami isteri ini melihat banyak perkara secara berbeza.  Contohnya, suami isteri yang kedua-duanya bekerja, mereka terpaksa keluar dari rumah awal pagi.

   Dalam banyak hal, wanita bekerja yang paling kerap bersungut.  Suaminya, apabila keluar sahaja dari rumah, yang dibawa hanya kunci kereta, masuk ke dalam kereta dan hidupkan enjin, kemudian tunggu isteri.  Matlamat mereka ke pejabat.  Manakala si isteri, memikirkan apa yang hendak dibawa ke sekolah, baju di ampaian siapa hendak ambil, anak belum pakai baju lagi, anak belum makan lagi.  Kalau boleh, dia mahu memikirkan semua benda, kerana padanya, apabila sesuatu terjadi, bagaimana kesudahannya?  Biar lewat ke tempat kerja, asalkan semuanya beres.

   Apabila si suami dan isteri ke kompleks membeli belah.  Si isteri, apabila masuk sahaja ke pusat membeli belah dia melihat banyak benda dahulu, satu persatu, perlahan-lahan, dari atas ke bawah, kain ini dipegang, diperhati dan dieselkan.  Kemudian pegang pula kain lain, selepas berjam-jam barulah dibuat pilihan membeli.  Pendek kata, si suami yang menjadi pengikut setia mudah bosan.  Bagi lelaki apabila hendak membeli sesuatu, terus dituju ke tempat yang ingin dibeli dan membeli.  Membeli belah pada lelaki tidak perlu mengambil masa yang lama.

   Contoh-contoh tersebut menunjukkan cara wanita mengamati sesuatu berbeza daripada lelaki.  Sebab itu, jangan bergaduh selepas membeli belah, jangan bergaduh ketika mahu ke tempat kerja.  Si isteri jangan putus asa melihat si suami, apabila keluar sahaja dari rumah terus masuk kereta.  Tanpa mahu mengangkat botol susu anak, kain lampin anak, dan berbagai-bagai lagi untuk dibawa ke rumah pengasuh.

   Akuilah kita berbeza.  Perbezaan bukan untuk bermusuh, sebaliknya supaya saling membantu dan berkasih sayang.  Kerana kita berbeza, kita lebih berkasih sayang.  Jangan disebabkan pada cara berkasih sayang antara lelaki dengan seorang wanita, maka timbul krisis rumah tangga berpuluh tahun.  Tentulah kerana perbezaan yang ada antara kita itu, maka kita lebih berkasih sayang.  Kerana itu, kita berbeza supaya saling menyayangi.




Unit Bimbingan dan Kaunseling
SK Bendang Siam